BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bendera di dada, semangat di jiwa – Kisah bapa Cina didik anak cintai Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR – Seorang bapa berbangsa Cina, Ng Chee Kean, mencuri perhatian ramai apabila catatannya mengenai peri pentingnya menghormati dan menghayati Jalur Gemilang tular di media sosial, dengan lebih 1,000 perkongsian di Facebook setakat ini.

Dalam catatan ringkas tetapi penuh makna itu, Chee Kean berkongsi tentang hari pertama anaknya, yang diberi panggilan manja “Upin Ipin”, memakai lencana Jalur Gemilang ke sekolah.

Bagi Chee Kean, pemakaian lencana bukan sekadar simbol semangat patriotisme tetapi ia juga datang bersama tanggungjawab.

“Hari ini hari pertama ‘Upin Ipin’ pakai lencana Jalur Gemilang. Papa sudah set beberapa syarat bila Jalur Gemilang ada di dada kita,” katanya.

Gambar anak lelaki Ng Chee kean yang dikongsikan di Facebooknya.

Antara syarat yang ditetapkan adalah supaya menjaga lencana agar tidak kotor dan tidak menyentuh lantai selain memastikan pakaian yang mempunyai lambang bendera negara tidak dibuang merata-rata.

Lebih penting, Chee Kean meletakkan syarat agar anaknya menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama apabila memakai lencana berkenaan – termasuk ketika berurusan dengan warga sekolah seperti mak cik kantin atau rakan sebangsa.

“Saya mahu dia beri ucapan dan salam dalam Bahasa Melayu, walaupun di sekolah Cina,” ujarnya.

Ng turut menegaskan anak-anaknya supaya penguasaan Bahasa Melayu perlu sentiasa diperbaiki.

Katanya, jika prestasi merosot, lencana Jalur Gemilang itu akan ditarik balik – satu langkah simbolik tetapi tegas yang menggariskan nilai dan maruah yang datang bersama pemakaian lambang negara.

“Bahasa Melayu awak perlu bertambah baik. Merosot atau tidak bertambah baik, saya akan keluarkan lencana.

“Nanti cikgu awak mungkin tanya Horace n Howie (nama anak) mana lencana awak? Awak jawab pada cikgu sebab Bahasa Malaysia saya kurang baik. Saya boleh jumpa Guru Besar sekolah jika perlu.

Tindakan Chee Kean mendapat pujian ramai warganet yang melihat pendekatan beliau sebagai satu contoh perpaduan dan semangat kenegaraan yang wajar dicontohi oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“So pastikan syarat-syarat ini dipegang dan dilaksanakan. Bukan sekadar pakai lencana sahaja.

“Perlu tahu hikmah dan tanggungjawabnya sebagai seorang murid di Sekolah Kebangsaan,” katanya mengakhiri coretan di Facebook dengan mesej yang bergema melangkaui garis perkauman dan membakar semangat cinta akan negara.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button