BERITA SEMASA

Belia Pengakap tonggak perpaduan serantau

KUALA LUMPUR – Pengakap terus membuktikan peranannya bukan sekadar aktiviti kokurikulum apabila diangkat sebagai platform penting dalam melahirkan pemimpin belia serantau dan memperkukuh diplomasi antara negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata pergerakan itu bukan sahaja berupaya mengasah potensi kepimpinan dalam kalangan belia, malah mampu menjadi jambatan silang budaya yang memperkuat persefahaman serta keharmonian antara negara di rantau Asia Pasifik.

“Yang penting bukan hanya melatih mereka yang terlibat dalam pengakap, tetapi memastikan anak muda dari seluruh rantau bertemu, memahami budaya masing-masing dan akhirnya menghormati satu sama lain,” katanya memetik laporan Bernama.

Sebahagian ahli belia pengakap rantau ini yang menyertai bengkel selama empat hari bermula Khamis lalu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 di ibu negara semalam.

Turut hadir, Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr. Mohd Zin Bidin.

Menurut Johari, pendedahan awal kepada kepelbagaian budaya melalui ‘diplomasi kepengakapan’ amat penting untuk membentuk pemimpin masa depan yang berfikiran terbuka dan inklusif.

“Kalau akhirnya pemimpin muda ini tidak bersedia memahami jiran mereka atau menginsafi bahawa dunia ini saling bergantung, bagaimana kita mahu membina masa depan yang harmoni?

“Diplomasi ini perlu dimulakan sejak dari sekolah,” tambah beliau yang juga Ahli Majlis Pengakap Malaysia.

Beliau turut menyarankan agar inisiatif kepimpinan belia yang dibina melalui pergerakan pengakap dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam pembangunan kepimpinan global yang mampan dan menyeluruh.

Bengkel selama empat hari yang bermula Khamis lalu itu dianjurkan oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (Rantau Asia-Pasifik) bersama Persekutuan Pengakap Malaysia.

Lebih 50 peserta dari 15 Pertubuhan Pengakap Kebangsaan di rantau ini telah berkumpul bagi memperkukuh daya kepimpinan, memperluas pemahaman sosial serta merangka penyelesaian yang inklusif dan mampan dalam menangani isu-isu komuniti serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button