‘Belia MADANI, Yakin Boleh!’ terserlah di Johor
JOHOR BAHRU – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat Negeri Johor berjaya mencapai objektif dalam merakyatkan perkhidmatan kerajaan dan mengangkat potensi belia sebagai tonggak masa depan negara.
Berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Mei di Toppen Shopping Centre, program itu merupakan penganjuran pertama dengan kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan pentingnya peranan belia dalam pembangunan negara.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Belia Sukan, Hannah Yeoh.
KBS dalam satu kenyataan berkata, dengan tema ‘Belia MADANI, Yakin Boleh!’, program tersebut menarik kehadiran lebih 136,000 pengunjung menerusi pelbagai pengisian.
“Ia termasuklah 134 perkhidmatan rakyat, penglibatan usahawan belia, karnival kerjaya, sesi libat urus dan program satelit.
“Antara inisiatif komuniti yang dijalankan ialah Program Komuniti Rakyat MADANI di PPR Larkin dan Projek Rumah Rakit di Jeti Kampung Mawai Lama.
“Aktiviti seperti gotong-royong, saringan kesihatan dan sumbangan peralatan sukan turut mendapat sambutan penduduk setempat,” menurut kenyataan itu.

Sambutan PMR 2025 turut diserikan dengan Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah dengan kehadiran lebih 3,000 belia.
KBS juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.
“PMR 2025 Johor membuktikan bahawa pendekatan turun padang dan libat urus secara langsung dengan rakyat amat berkesan dalam memperkukuh keyakinan terhadap usaha kerajaan.
“Kami komited untuk terus memperkasakan belia dan komuniti setempat melalui program bersifat inklusif seperti ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







