
Belasungkawa: Tun Abdullah tonggak pemerkasaan pendidikan Islam negara
KUALA LUMPUR – Pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke rahmatullah pada usia 86 tahun malam tadi membawa bersama ingatan terhadap jasa besar beliau dalam memperkasa pendidikan Islam negara.
Antara peninggalan paling bermakna Allahyarham ialah pengenalan Dasar J-QAF iaitu satu inisiatif yang telah mengarusperdanakan pembelajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain dalam sistem pendidikan rendah negara sejak April 2004.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Tun Abdullah pergi dengan membawa jasa yang begitu banyak untuk umat Islam dan rakyat Malaysia sepanjang berkhidmat dalam pelbagai portfolio sejak 1978 sehingga 2009.

“Bayangkan betapa besarnya pahala dikutip oleh Allahyarham hasil cetusan idea yang dilontarkan pada Disember 2003 sehingga menjadikan anak-anak Islam celik al-Quran, memahami asas Fardu Ain, mempelajari bahasa al-Quran dan menghidupkan kembali tulisan Jawi sebagai khazanah ilmu bangsa Melayu,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Dasar J-QAF yang diperkenalkan Tun Abdullah bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sahsiah pelajar Islam, malah membuka ribuan peluang pekerjaan kepada graduan Sarjana Muda Pengajian Islam dalam dan luar negara.
Malah, Fakulti pengajian Islam di universiti-universiti tempatan menerima peningkatan ketara permintaan selepas dasar ini diperkenalkan.
“Apabila kuasa politik digunakan untuk membina sistem pendidikan Islam, maka ia menjadi satu amal jariah besar. Bahkan seluruh rakyat beroleh manfaat dunia dan akhirat daripadanya,” jelasnya lagi.
Beliau turut mengaitkan usaha murni Allahyarham dengan sabda Rasulullah SAW tentang ganjaran pahala yang berterusan buat sesiapa yang memulakan suatu sunnah hasanah dan mengajarkan ilmu yang bermanfaat.
“Kalau mengajar satu ilmu pun sudah mendapat pahala jariah berpanjangan, apatah lagi membina sebuah sistem pendidikan Islam,” tambahnya.
Sebagai tokoh politik yang berada dalam pentadbiran negara selama tiga dekad, Allahyarham Tun Abdullah dikenang bukan sahaja sebagai pemimpin berjiwa rakyat, tetapi juga sebagai negarawan yang menanam asas penting dalam pelaksanaan agenda Islam melalui dasar yang realistik dan menyeluruh.
“Semoga Allah merahmati Allahyarham Pak Lah dengan kerahmatan yang luas dan moga kita berjaya mengikuti segala jejak langkah kebaikan beliau. Amin,” ujar Mohd Khairuddin.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |