BERITA SEMASA

Belanjawan 2026: Seramai 720 pelajar tahfiz dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA – KKDW

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyokong sepenuhnya agenda pemerkasaan TVET oleh kerajaan MADANI susulan peningkatan peruntukan kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion pada tahun ini.

Menurut KKDW dalam satu kenyataan, di bawah peruntukan itu, RM30 juta telah disediakan bagi Industrail Boot Camp (IBC) MARA untuk melatih peserta dengan jaminan pekerjaan.

“Seramai 720 pelajar tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA untuk dimanfaatkan selepas tamat pengajian.

“Pelaburan ini akan melahirkan tenaga kerja mahir, berakhlak dan berdaya saing tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina generasi desa berilmu dan selari dengan tuntutan literasi digital, televisyen pintar akan dibekalkan kepada 10,800 kelas prasekolah, taska dan tabika seluruh negara dengan kos RM70 juta.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga komited dalam memperluas TABIKA Berkeperluan Khas (Tunas Istimewa@KEMAS) bagi kanak-kanak autisme ringan di kawasan luar bandar di seluruh negeri termasuk Terengganu, Labuan dan Kedah.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan menaikkan kadar Bayaran Sara Hidup (BSH) seramai 4,000 pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pendidikan awal luar bandar.

Mengulas lanjut katanya, sebanyak hampir RM412 juta peruntukan ditingkatkan bagi pembangunan komuniti Orang Asli.

“Antara inisiatif utama termasuk RM155 juta bagi menaik taraf jalan kampung Orang Asli di Negeri Sembilan dan Pahang.

“Seterusnya, hampir RM13 juta untuk menaik taraf premis TABIKA serta pembinaan empat TABIKA baharu dan peluasan Program Chup Badui Sikulah di Hulu Perak bagi mendidik lebih 350 anak Orang Asli.

“Peruntukan ini bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat pedalaman, sejajar dengan prinsip ‘Leave No One Behind’,” katanya.

Sementara itu katanya, KKDW komited untuk memastikan peruntukan RM12.4 bilion yang diterima pada tahun 2026 dimanfaat sepenuhnya bagi mentransformasi pembangunan luar bandar sekaligus memastikan peruntukan ini dinikmati oleh semua rakyat luar bandar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button