Belanjawan 2026: Fokus perkukuh industri pertahanan, pemodenan ATM dan kebajikan veteran
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara menerusi empat teras utama yang digariskan ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, teras pertama melibatkan pembangunan industri pertahanan tempatan sebagai sektor strategik negara, termasuk perancangan pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP).
“Aspek kedua memberi tumpuan kepada perolehan pertahanan yang berlandaskan tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti, termasuk usaha menangani isu legasi serta pelaksanaan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berperingkat melalui inisiatif Army4NextGen, 15-to-5 dan CAP55.
“Teras ketiga pula melibatkan kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi bencana, khususnya banjir, menerusi pelaksanaan Operasi MURNI dengan atur gerak anggota serta aset darat, laut dan udara bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan dan kecemasan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, teras keempat menyentuh hal ehwal veteran ATM dengan penekanan terhadap pelaksanaan Program PROTÉGÉ Veteran dan Readiness-to-Work bagi memperkasa peralihan kerjaya, latihan penambahbaikan kemahiran (reskilling dan upskilling), selain meningkatkan kebolehpasaran veteran selepas persaraan.
“Saya percaya, segala inisiatif Belanjawan 2026 akan dilaksanakan dengan jayanya melalui usaha bersepadu di bawah Kerajaan MADANI, terutama dalam mendokong aspirasi nasional ke arah membina sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








