BERITA SEMASA

Belanjawan 2024: KPT tidak bercadang teruskan insentif diskaun PTPTN

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang meneruskan insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Belanjawan 2024.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan.

“Setakat ini, kita tidak lagi meneruskan itu (diskaun bayaran balik PTPTN),” kata Moohd Khaled selepas merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023, di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac hingga 31 Mei lepas.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.

Khaled seterusnya berkata, KPT memberi tumpuan kepada tiga perkara dalam Belanjawan 2024 iaitu pendigitalan, penyelidikan dan inovasi serta kediaman pelajar.

“Kita (KPT) mengharapkan supaya kerajaan menyokong permohonan kita untuk kita menerap dan mengaplikasi pendigitalan dalam kita menjayakan dan mengurus mentadbir ekosistem pendidikan tinggi dalam negara.

“Kita percaya melalui pendigitalan akan dapat meningkat dan melonjakkan lagi usaha kita untuk memastikan terus cemerlang dalam sektor pendidikan tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button