BERITA SEMASALUAR NEGARA

Bekas tentera AS diburu, dipercayai bunuh tiga anak kandung

WASHINGTON – Seorang bekas anggota tentera Amerika Syarikat diburu pihak berkuasa selepas dipercayai membunuh tiga anak kandungnya di sebuah tapak perkhemahan terpencil di Washington.

Suspek, Travis Decker, 32 tahun, mengambil tiga anak perempuannya Paityn (9), Evelyn (8) dan Olivia (5) dari kediaman bekas isterinya, Whitney Decker, pada 30 Mei lalu bagi tujuan lawatan penjagaan bersama mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurut Whitney Decker, beliau menyerahkan penjagaan anak-anak kepada Travis berdasarkan perjanjian bersama, namun mula bimbang apabila suspek gagal memulangkan mereka seperti yang dijanjikan.

“Saya terus hubungi pihak polis malam itu apabila Travis tidak pulangkan anak-anak seperti yang dijanjikan,” katanya.

Menurut Sheriff Mike Morrison, suspek dipercayai mempunyai kemahiran bertahan hidup di kawasan hutan hasil latihan ketenteraan yang diterima semasa berkhidmat dalam Pengawal Nasional Washington sejak tahun 2021.

“Suspek dipercayai telah menyimpan bekalan makanan dan keperluan di beberapa lokasi dalam hutan, membolehkannya bertahan untuk tempoh yang lama.

“Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau menghubungi suspek kerana beliau dianggap berbahaya dan mungkin bersenjata. Keselamatan awam adalah keutamaan kami dalam menangani kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Pejabat Sheriff Daerah Chelan, mayat ketiga-tiga kanak-kanak ditemui sekitar pukul 5 petang Isnin, di cerun berbatu berhampiran Tapak Perkhemahan Rock Island, kira-kira 30 kilometer dari bandar Leavenworth.

“Pihak berkuasa turut menemui sebuah trak putih jenis GMC Sierra milik Decker yang ditinggalkan berhampiran lokasi kejadian, dengan kesan cap tangan berdarah pada bahagian belakang kenderaan.

“Selain itu, beberapa hari sebelum kejadian, rakaman kamera loceng pintu di sebuah kediaman menunjukkan kelibat Decker mengetuk pintu. Rakaman tersebut telah diedarkan kepada umum bagi membantu usaha mengesan suspek.

“Decker tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan dipercayai tinggal di dalam trak miliknya,” tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Travis Decker diminta menghubungi pihak berkuasa dengan segera bagi membantu siasatan dan usaha penahanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button