
Bekas pekerja pelantar minyak rugi RM109,500 terpedaya pelaburan palsu patuh syariah
KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pekerja pelantar minyak kerugian wang simpanannya berjumlah RM109,500 selepas terpedaya dengan skim pelaburan yang didakwa menawarkan saham patuh syariah, dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 57 tahun diperkenalkan kepada pelaburan itu oleh rakannya pada 29 Januari 2023 sebelum menyertai satu sesi taklimat secara dalam talian yang dikendalikan oleh ejen syarikat terbabit.
“Tertarik dengan pakej yang ditawarkan, mangsa memilih untuk melabur RM150,000 dan dijanjikan pulangan keuntungan 18 peratus setahun untuk tempoh tiga tahun.
“Mengikut perjanjian, mangsa sepatutnya menerima kira-kira RM6,700 setiap tiga bulan. Sehingga kini, beliau telah menerima sebanyak RM40,500 secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Azli berkata, bayaran keuntungan itu terhenti sejak 29 Oktober 2024 dan syarikat berkenaan memberi pelbagai alasan apabila dihubungi.
“Mangsa membuat laporan polis pada 11.14 pagi semalam selepas gagal mendapatkan penjelasan dan keuntungan yang dijanjikan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |