
Bekas Panglima Angkatan Tentera dilantik Pengerusi MLKN baharu
KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera ke-16, Tan Sri Abdul Aziz Zainal secara rasminya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) yang baharu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 April lalu.
“Pelantikan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap keupayaan dan pengalaman ahli majlis, namun menjadi amanah besar yang perlu dipikul dengan berdedikasi dan berintegriti.
“Barisan kepimpinan ahli majlis kali ini menjadi gabungan yang mantap yang mewakili pelbagai latar belakang dan pengalaman.
“Ia penting dalam memastikan setiap keputusan dilakukan secara inklusif dan mencerminkan kepelbagaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran PLKN 3.0 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan hari ini.
Turut dilantik ialah lima Ketua Setiausaha Kementerian sebagai anggota MLKN dan wakil kerajaan iaitu Datuk Lokman Hakim Ali (Kementerian Pertahanan), Datuk Dr Aminuddin Hashim (Kementerian Pendidikan) dan Datuk Dr Aneese Ibrahim (Kementerian Pengajian Tinggi).
Selain itu, Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu (Kementerian Belia dan Sukan) dan Datuk Dr Maziah Che Yusoff (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Tiga wakil kaum utama pula terdiri daripada Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia, Soon Honn Keong dan Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian.
Turut dilantik Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahminah AG Sahari yang mewakili Sabah.
Mohamed Khaled berkata, semua mereka dilantik mengikut peruntukan Seksyen 7 Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
Beliau berkata, setiap ahli majlis harus menyedari realiti cabaran semasa yang semakin kompleks menuntut hikmah dan kebijaksanaan bagi
melahirkan generasi masa depan yang berkualiti untuk mencapai matlamat.
“Majlis perlu sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif, bukan sekadar menambah baik modul tetapi juga meyakinkan masyarakat terhadap kepentingan PLKN kepada negara,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |