Bekalan elektrik putus di tiga negara Eropah, pengangkutan awam tergendala
MADRID – Gangguan bekalan elektrik besar dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah termasuk Sepanyol, Portugal dan sebahagian Perancis, menyebabkan operasi harian lumpuh dan menjejaskan ribuan penduduk, semalam.
Menurut laporan BBC, masalah bermula di Madrid apabila lampu isyarat berhenti berfungsi sehingga mencetuskan kesesakan lalu lintas besar di seluruh ibu kota negara itu.
Pengendali grid elektrik negara, Red Electrica, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan gangguan bekalan berlaku di seluruh Sepanyol.
Insiden menyebabkan perkhidmatan kereta api terjejas teruk apabila syarikat pengangkutan negara, Renfe, mengumumkan seluruh grid elektrik negara terputus pada pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan.
Sementara itu, Portugal turut melaporkan gangguan elektrik berskala besar apabila syarikat elektrik negara tersebut bertungkus-lumus memulihkan bekalan.
Jurucakap syarikat REN memaklumkan pelan pemulihan secara berperingkat sedang dilaksanakan dengan kerjasama pengeluar dan pengendali tenaga Eropah.

Insiden bekalan elektrik terputus turut dilaporkan di Belgium dan Belanda.
Di Perancis, pengendali grid RTE memaklumkan berlaku gangguan sementara yang berjaya dipulihkan namun siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih diteruskan.
Sementara itu, Euro News melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Barajas di Madrid dan Lapangan Terbang Humberto Delgado di Lisbon terpaksa ditutup susulan gangguan itu.
Penerbangan dari Brussels dan beberapa bandar Eropah lain ke Sepanyol dan Portugal turut dibatalkan, menyebabkan ratusan penumpang terkandas.
Selain itu, pengguna telefon bimbit di Madrid dan Lisbon juga mengadu menghadapi gangguan perkhidmatan.
Sehingga kini, tiada punca khusus yang dikenal pasti namun difahamkan masalah berkaitan grid tenaga Eropah dipercayai menjejaskan grid negara-negara di Semenanjung Iberia.
Media sosial turut menunjukkan rakaman kebakaran di barat daya Perancis yang dikatakan merosakkan talian elektrik voltan tinggi.
Pihak berkuasa menjangkakan proses pemulihan bekalan sepenuhnya mungkin mengambil masa antara enam hingga 10 jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






