BERITA SEMASALUAR NEGARA

Beberapa bot tarik diri, misi Global Sumud Flotilla perlu dirombak

KUALA LUMPUR – Beberapa bot yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terpaksa menghentikan pelayaran ke perairan Gaza semalam bagi membolehkan rombakan besar dilakukan selepas beberapa kapten dan pembantu menarik diri daripada misi itu.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam flotila berkenaan berkata, setakat pukul 12 tengah hari (waktu Laut Mediterranean), misi tersebut sudah tiba di selatan perairan Greece, membabitkan hampir 30 bot.

“Kalau mengikut perancangan, kita sepatutnya teruskan pelayaran tanpa berhenti di Greece, tetapi ada sebab tertentu semalam.

“Beberapa kapten dengan pembantunya menarik diri menyebabkan rombakan perlu dibuat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa penganjur terpaksa memindahkan penumpang ke bot lain atau melantik kapten baharu termasuk bagi bot yang dinaikinya sendiri.

Global Sumud Flotilla
Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla membawa mesej keamanan dan bantuan asas bagi membantu rakyat Palestin.

Sementara itu, sebuah bot keluarga dilaporkan mengalami kerosakan dan tidak dapat dibaiki, menyebabkan kumpulan itu terpaksa kekal di lokasi tersebut sehingga keadaan membolehkan pelayaran diteruskan.

“Selagi tidak selesai, kita tidak bergerak. Bot keluarga itu pun mungkin penghuninya kena dipindahkan sebab bot tidak boleh bergerak.

“Kami tidak dapat kemas kini sama ada mereka telah diganti dengan bot lain,” tambahnya.

Misi GSF membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan sukarelawan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Kesemua 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi ini berada di bawah panji Sumud Nusantara diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Peserta Malaysia dijangka memasuki zon kuning di perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum tiba di Gaza pada hujung bulan ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button