
Bebas asap rokok : KKM adakan sesi libat urus bersama peniaga makanan
IPOH — Usaha mewujudkan persekitaran premis makanan lebih selesa, bersih dan bebas asap rokok menjelang 2040 terus diperkukuh melalui sesi libat urus antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan peniaga-peniaga makanan di negeri ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, program itu menjadi platform penting untuk pengusaha premis makanan, penjaja serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan pandangan dan cadangan mereka bagi merealisasikan matlamat negara bebas rokok.
“Selari dengan program Walkabout ”BeBAs” yang diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan pemahaman, sokongan dan pematuhan masyarakat terutamanya pengusaha premis makanan dan penjaja, sesi libat urus ini juga dilakukan bagi memperhalusi kerjasama antara pengusaha premis makanan dengan agensi Kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan di Facebook KKM, semalam.
Beliau berkata demikian susulan Sesi Perbincangan Meja Bulat sempena Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, baru-baru ini.
Menurut Lukanisman, pendekatan libat urus secara terus itu amat penting bagi memastikan setiap pihak memahami peranan masing-masing dalam membina budaya hidup sihat dalam masyarakat.
“Matlamat kita bukan untuk menghukum, tetapi untuk membimbing dan menyokong para pengusaha dalam mewujudkan persekitaran premis makanan yang lebih sihat, bersih dan selesa.
“Usaha ini memerlukan kerjasama erat semua pihak,” katanya dalam sesi perbincangan tersebut.
Tambahnya, kementerian komited untuk terus memperluas program seperti itu ke seluruh negara demi mencapai sasaran negara bebas rokok menjelang tahun 2040.
“Kami mahu rakyat Malaysia, terutama generasi muda, membesar dalam persekitaran yang bebas daripada budaya merokok, Ia bukan sekadar soal kesihatan, tetapi juga imej dan masa depan negara,” ujarnya.
Sesi itu turut memberi ruang kepada para pengusaha premis tempatan melontarkan persoalan dan berkongsi pandangan secara terbuka, terutama berkaitan pelaksanaan garis panduan premis bebas asap rokok.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr. Norhayati Rusli; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan, Zailina Abdul Majid; Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Feisul Idzwan Mustapha serta barisan pegawai kanan KKM.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |