
Bayi satu tahun antara mangsa banjir Kelantan
RANTAU PANJANG – Seorang bayi berusia setahun meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh ke dalam air di rumahnya di Tumpat, pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, kehilangan mangsa hanya disedari ibunya selepas tersedar daripada tidur dan mendapati anaknya tiada di sebelah.
Difahamkan, keluarga mangsa berlindung daripada banjir di tingkat atas rumah dua tingkat tersebut.
“Selepas itu ibu mangsa menjumpai bayi berkenaan lemas di tingkat bawah rumah berkenaan.
“Ini yang saya tekankan supaya terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) supaya tidak berdepan risiko sehingga membahayakan nyawa ahli keluarga,” jelas Mohd. Yusof.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di seluruh negara meningkat hampir 10,000 dalam tempoh dua jam, menjadikan jumlah keseluruhannya 130,957 dengan 39,268 keluarga setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Kelantan dan Terengganu masih mencatatkan jumlah tertinggi manakala lima lagi negeri, Kedah, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor turut menunjukkan peningkatan ketara.
Di Selangor, tiada peningkatan dilaporkan dan jumlah mangsanya masih sama seperti yang direkodkan pada Sabtu pagi tadi iaitu 468 mangsa di Klang dan dua PPS dibuka.
Perak menunjukkan penurunan mangsa banjir dengan rekod baharu sebanyak 17 mangsa di daerah Kerian (satu PPS).
Selain itu, Melaka turut menunjukkan penurunan mangsa sebanyak 224 dengan tiga daerah terlibat berbanding jam 9 pagi tadi iaitu sebanyak 229 mangsa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |