BERITA SEMASA

Bawa pulang rakyat Palestin bukti komitmen berterusan Malaysia

PUTRAJAYA – Malaysia sekali lagi membuktikan komitmennya dalam membantu rakyat Palestin apabila berjaya membawa seramai 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, usaha itu menjadi bukti Malaysia tidak pernah melupakan saudara seagama yang sedang berdepan kesulitan akibat kekejaman rejim Zionis.

Katanya, sejak sekian lama Malaysia konsisten memperjuangkan isu Palestin melalui pelbagai usaha dan pendekatan.

“Ini mencerminkan keberanian Malaysia sebagai negara yang pertama di Asia melaksanakan usaha seperti itu dan merupakan satu misi yang sangat mencabar.

“Namun di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, misi ini berjaya direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasanuddin turut menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berjaya melaksanakan tugas itu dengan penuh profesionalisma.

“Penerbangan selama 16 jam yang membawa pesakit-pesakit itu memerlukan perancangan yang teliti, kepakaran dan kemahiran tinggi,” katanya lagi.

Selain itu, YADIM juga merakamkan terima kasih kepada kerajaan Mesir yang membantu dan memudahkan urusan membawa warga Palestin ke Malaysia.

Sementara itu Hasanuddin menegaskan usaha itu tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan menggesa semua pihak untuk menyokong inisiatif tersebut serta menyumbang idea bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin serta membantu mereka mencapai kebebasan daripada penjajahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button