BERITA SEMASA

Batik Air perbaharui pensijilan IOSA, tegas komited terhadap keselamatan penerbangan

KUALA LUMPUR – Batik Air berjaya memperbaharui Pensijilan IATA Operational Safety Audit (IOSA), sekali gus mengesahkan komitmen berterusannya terhadap standard keselamatan dan operasi penerbangan bertaraf antarabangsa.

Pensijilan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) itu diperoleh selepas syarikat penerbangan tersebut melalui proses audit menyeluruh yang dijalankan di bawah kerangka Risk-Based Audit (RBA). Audit berkenaan menilai setiap aspek operasi berdasarkan profil syarikat dan rekod keselamatan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pembaharuan pensijilan tersebut yang sah sehingga 3 Jun 2027 membuktikan keupayaan dan disiplin operasi syarikat yang sentiasa mengutamakan keselamatan.

Batik Air perbaharui pensijilan IOSA, tegas komited terhadap keselamatan penerbangan

“Di Batik Air, keselamatan bukan sekadar piawaian, tetapi merupakan janji utama kami kepada semua penumpang. Ia menjadi asas kepada setiap operasi dan mencerminkan identiti kami sebagai syarikat penerbangan yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pencapaian itu memberi keyakinan kepada penumpang bahawa Batik Air sentiasa berusaha memastikan penerbangan yang selamat, lancar dan boleh dipercayai, sama ada untuk destinasi domestik mahupun antarabangsa.

“Pensijilan IOSA merupakan penanda aras keselamatan paling ketat dalam industri penerbangan dan diwajibkan bagi semua ahli IATA. Audit dijalankan setiap dua tahun oleh juruaudit bebas yang diiktiraf bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi dan keselamatan.

“Antara lapan komponen utama yang diaudit termasuk pengurusan organisasi, operasi penerbangan, kawalan dan perlepasan, kejuruteraan dan penyelenggaraan, operasi kabin, pengendalian darat, pengurusan kargo dan keselamatan penerbangan,” katanya lagi.

Chandran turut berkata, kejayaan memperbaharui pensijilan ini menjadi bukti bahawa seluruh warga kerja Batik Air sentiasa berusaha meletakkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam setiap aspek operasi.

“Pensijilan ini bukan sahaja bukti kepada pencapaian kami, malah menjadi pemangkin untuk terus maju sebagai syarikat penerbangan pilihan utama, bukan hanya kerana perkhidmatan yang selesa, tetapi juga kerana jaminan keselamatan yang menyeluruh,” ujarnya lagi.

Batik Air ketika ini terus meluaskan laluan penerbangannya ke peringkat serantau dan antarabangsa, sambil kekal menekankan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sebagai nilai teras syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button