BERITA SEMASA

Baru disiarkan, iklan sambutan Gawai dan Kaamatan Kementerian Perpaduan cecah 2.5 juta tontonan

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara menerbitkan sebuah iklan khas sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan tahun ini hasil cetusan oleh Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang.

Setiausaha Akhabar kepada Aaron, Dr S. Shatesh Kumar berkata, iklan bertajuk Tuai Kasih itu bukan sekadar bahan promosi sempena dua perayaan di Malaysia, ia merupakan simbol keindahan nilai kebersamaan dan penerimaan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

“Dengan membawa tema “Dalam setiap sambutan, kita raikan keharmonian dalam kepelbagaian”, Tuai Kasih tampil sebagai karya seni visual yang memukau, menggabungkan unsur tradisional seperti tarian etnik dan muzik rakyat yang disusun dengan melodi lunak dan penuh emosi.

“Penyampaian ini tidak hanya menyentuh lapisan masyarakat dari Sabah dan Sarawak, tetapi juga merentasi sempadan kaum dan agama, menjadikan ia relevan dan menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan tersebut merupakan simbol keindahan nilai kebersamaan dan penerimaan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

Dalam pada itu katanya, iklan itu juga lebih daripada sekadar hiburan atau dokumentasi budaya, dengan membawa mesej yang sangat penting dalam konteks Malaysia hari ini iaitu perpaduan hanya dapat dibina melalui saling faham, saling hormat dan penerimaan terhadap perbezaan budaya.

Katanya, dalam sebuah negara yang rencam dari segi etnik, bahasa dan adat, iklan tersebut menyampaikan mesej bahawa perayaan seperti Gawai dan Kaamatan wajar diraikan bukan sahaja oleh masyarakat asalnya tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai lambang identiti nasional.

“Naratif iklan ini disusun dengan penuh teliti, menonjolkan peranan nilai kasih sayang, hormat dan saling menyokong antara komuniti, elemen penting dalam membentuk Malaysia yang lebih bersatu dan harmoni.

“Tuai Kasih, yang secara literal bermaksud menuai kasih sayang, menjadi metafora kepada hasil yang dituai apabila rakyat hidup bersama dalam suasana yang saling menyayangi dan memahami.

“Apa yang menjadikan iklan ini begitu berbeza dan luar biasa ialah gabungan teknik sinematografi moden dengan elemen tradisional. Tarian-tarian etnik yang diiringi alunan muzik lembut mencipta suasana syahdu yang menjentik rasa bangga dan kasih terhadap warisan budaya tanah air.

“Setiap momen diolah dengan tujuan memperlihatkan keindahan budaya dan kekuatan semangat kekitaan, dari detik persiapan sambutan hingga ke saat komuniti pelbagai bangsa berkumpul dalam suasana penuh ceria dan harmoni,” katanya.

Selain itu katanya, paparan visual desa dan alam semula jadi Sabah dan Sarawak yang menawan bakal memberi kesan mendalam terhadap penonton.

“Sejak dilancarkan, Tuai Kasih menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat dengan tontonan melebihi 2,500,000 tontonan di dua media media sosial Aaron iaitu TikTok dan Instagram sejak dimuat naik pada 26 Mei lalu.

“Masyarakat memuji pendekatan yang kali ini yang disifatkan sebagai kreatif, menyentuh emosi dan mengangkat perpaduan secara halus tetapi bermakna.

“Iklan ini telah menjadi tular di pelbagai platform digital dan menjadi bahan perbincangan yang positif dalam kalangan netizen. Untuk mereka yang masih belum boleh menonton, iklan ini boleh ditonton di media sosial Datuk Seri Aaron Ago Dagang, di Kementerian Perpaduan Negara, serta saluran rasmi seperti TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Sarawak (TVS), Astro Awani Borneo, dan BERNAMA.

“Tayangan rasmi berlangsung bermula 26 Mei hingga 2 Jun ini, menjadikan ia tontonan wajib sempena musim perayaan ini.

Tuai Kasih turut menampilkan barisan pelakon yang mewakili kepelbagaian masyarakat antaranya Izzul Faiq sebagai Ismail yang mewakili masyarakat Melayu, Nicole Jay sebagai Lizzy yang mewakili masyarakat Cina, Dhakshu sebagai Deva yang mewakili masyarakat India, serta Ethan yang mewakili masyarakat Sabah dan Dunstun Luther Junior yang mewakili masyarakat Sarawak.

Sejajar dengan hasrat kepimpinan negara iklan Tuai Kasih juga digarap dengan semangat dan hasrat yang sering disebut-sebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menjunjung tinggi semangat perpaduan di negara ini.

Beliau mengingatkan agar kita wajib memastikan masyarakat di Malaysia hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menjaga keharmonian antara satu sama lain.

Tuai Kasih turut menampilkan barisan pelakon yang mewakili kepelbagaian masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, karya itu turut menitikberatkan beberapa elemen yang sering disebut oleh Perdana Menteri untuk melihat Malaysia maju bukan sahaja dikenali dengan kemakmuran, tetapi juga dengan semangat perpaduan yang utuh dan harmoni dalam kepelbagaian.

Karya tersebut juga berjaya menyampaikan aspirasi sebuah Malaysia yang lebih indai (cantik dalam bahasa Iban), lebih harmoni dan lebih bersatu.

Iklan itu menjadi bukti bahawa seni dan budaya boleh menjadi medium efektif dalam menyatukan masyarakat, menyemai rasa hormat dan memperkukuh semangat kebersamaan.

Sebagai rakyat Malaysia, sambutan Gawai dan Kaamatan seharusnya tidak hanya menjadi perayaan etnik tertentu, tetapi dirai sebagai sebahagian daripada identiti nasional, tempat kita semua berkongsi rasa bangga terhadap kepelbagaian yang menyatukan kita.

Dengan kejayaan Tuai Kasih, diharapkan lebih banyak karya seperti ini akan terus dihasilkan, bukan sahaja merakam keindahan budaya, tetapi juga menyatukan hati rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button