Berita Semasa

Bapa penuntut UiTM hilang kata-kata, hilang 2 anak lelaki nahas jalan raya

DUNGUN – Tiada lagi kata-kata yang dapat diluahkan oleh salah seorang bapa mangsa kemalangan maut yang mengorbankan tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun semalam selepas anak lelaki keduanya itu menyusul seorang lagi anak lelakinya dalam satu kejadian nahas jalan raya kira-kira tujuh tahun lalu.

Jamaludin Hussin, 53, bapa kepada Khairil Anwar, 20, anak sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin juga meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Senawang, Negeri Sembilan tujuh tahun lalu.

“Anak sulung saya dijemput Ilahi pada 3 Oktober 2017 dan kini anak bongsu (Khairil Anwar) pula pada 9 Oktober (semalam).

“Saya tak sangka kejadian menimpa anak sulung saya ‘berulang’ dan kali ini menimpa anak bongsu pula… kini, kedua-dua anak lelaki saya sudah tiada akibat kemalangan pada bulan yang sama,” katanya memetic laporan BH Online hari ini.

Terdahulu, Jamaludin tiba bersama isteri di Unit Perubatan Forensik Hospital Dungun di sini untuk menuntut jenazah anaknya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.20 malam, empat pelajar yang menunggang dua motosikal dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita.

Selain Khairil Anwar yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, dua lagi yang terkorban adalah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, masing-masing penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Selain itu, rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, parah.

Dalam pada itu, Jamaludin berkata dia menerima panggilan daripada salah seorang kakitangan UiTM kira-kira jam 9 malam sebelum bergegas ke Dungun dan tiba jam 3.30 pagi.

Katanya, kali terakhir dia dan isteri, Norma Mohammed Nor, 52, bertemu anak bongsu daripada lima beradik itu pada 6 Oktober lalu ketika menghantarnya ke Dungun untuk memulakan semester baharu.

“Kami ke sini pada 4 Oktober dan balik ke Ampang pada 6 Oktober lalu dan memang terkejut apabila menerima berita ini,” katanya.

Jenazah Khairil Anwar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button