
Bapa maut selepas ambil anak pulang dari universiti
LIPIS – Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat sini, pukul 7 semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Ruzi Moh Yusof, 56, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanah Merah, Kelantan selepas mengambil anaknya yang menuntut di Universiti Geomatika Malaysia.
“Siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta jenis Proton Persona bersama anak perempuannya berusia 19 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di kedua-dua belah sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mohd Ruzi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ismail meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati, berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |