
Bank Rakyat-SPNB tawar pembiayaan bina rumah serendah RM75,000
KUALA LUMPUR – Bank Rakyat dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) jalin kerjasama strategik menerusi Program Rumah Mesra Rakyat untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, program itu mensasarkan keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah yang tidak sempurna tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri.
“Pembinaan rumah bermula dari RM75,000 dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 dan baki sebanyak RM55,000 lagi boleh dibiayai melalui pembiayaan Bank Rakyat yang menawarkan margin pembiayaan sehingga 95 peratus dengan kadar serendah 4.45 peratus dan 2.89 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun,” katanya di sini hari ini.
Bank Rakyat turut menawarkan tiga kaedah pembayaran yang fleksibel iaitu melalui Potongan Gaji Biro Angkasa (BPA), Potongan Gaji Majikan (PGM) dan Pindahan Gaji ke Bank Rakyat.
Mohd Irwan berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah dengan mengurangkan beban kewangan mereka serta memudahkan mereka memiliki rumah.
“Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat dengan melayari www.bankrakyat.com.my, menghubungi atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






