BERITA SEMASA

Banjir Sumatera: 3 rakyat Malaysia selamat, 2 lagi masih hilang

PUTRAJAYA – Tiga daripada lima rakyat Malaysia yang dikhuatiri hilang susulan susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara bulan lepas, berjaya dikesan.

Menurut Kementerian Luar, tiga individu berusia antara 63 hingga 64 tahun yang gagal dihubungi sejak 27 November lepas kini telah berjaya dikesan dan telah dibawa keluar dari kawasan yang terputus hubungan akibat banjir.

“Kesemua mereka diterbangkan oleh Tentera Udara Indonesia dari Lapangan Terbang Rembele di Takengon ke Medan dan tiba di Lapangan Terbang Kualanamu petang semalam,” kata kenyataan itu, hari ini.

Buat masa ini, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan sedang mengatur kepulangan mereka ke Malaysia secepat mungkin.

Bagaimanapun, seorang wanita rakyat Malaysia berusia 64 tahun masih belum dapat dikesan dan usaha mengesan keberadaannya masih diteruskan.

“Rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu pengesanan beliau diminta segera menghubungi Konsulat Jeneral,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, 27 November lepas.

Operasi SAR yang memasuki hari ketujuh itu memberi tumpuan di kawasan tebing sungai dan zon tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar.

“Konsulat Jeneral terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang kini membantu pihak berkuasa tempatan dalam prosedur pengecaman yang diperlukan,” katanya..

Sementara itu, Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan ramalan cuaca tempatan dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa Indonesia.

“Keluarga di Malaysia yang gagal menghubungi ahli keluarga mereka di kawasan terjejas diminta menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Konsulat Jeneral Malaysia di Medan boleh dihubungi melalui talian +62 823-6164-6046, yang beroperasi secara 24 jam atau e-mel kepada mwmedan@kln.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button