
Banjir di Sook semakin membimbangkan, 1,340 mangsa dipindahkan
KOTA KINABALU – Situasi banjir di daerah Sook, Sabah semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa yang terjejas terus mencatat peningkatan.
Setakat jam 8 pagi ini, seramai 1,340 mangsa daripada 405 keluarga telah dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah berkenaan.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, angka tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,541 mangsa daripada 472 keluarga yang dipindahkan ke PPS di seluruh negeri, berbanding 1,243 mangsa daripada 375 keluarga yang direkodkan petang semalam.
“Lima PPS yang beroperasi di daerah Sook ialah Dewan Datuk Ellron Agin yang menempatkan seramai 668 mangsa, Dewan Masyarakat Sook (265 mangsa), Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (206), Dewan Kampung Ansip Tengah (117), dan Balai Raya Kampung Molosok Dalit (84),” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, seramai 175 mangsa daripada 57 keluarga telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, manakala 26 mangsa daripada 10 keluarga di daerah Sipitang juga dipindahkan ke Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah, Beaufort.
Setakat ini, sebanyak 28 kampung dilaporkan terjejas akibat banjir, melibatkan 10 kampung di daerah Beaufort dan masing-masing sembilan kampung di Sook dan Sipitang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |