
Bangunan asrama sekolah agama musnah terbakar
BALING – Sebuah bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Diniah Islamiah, Memali, di sini, musnah terbakar pagi tadi
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kejadian berlaku tidak lama selepas semua 53 penghuni berusia lapan hingga 12 tahun ke kelas masing-masing.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 7.54 pagi.
“Berikutan itu, seramai 12 anggota digerakkan ke lokasi kebakaran.
“Operasi turut dibantu lima anggota BBP Pengkalan Hulu dan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela Sungai Lalang,” katanya, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, operasi pemadaman mengalami kesukaran akibat tekanan air rendah di pili bomba, memaksa api dipadamkan dengan bantuan jentera tangki.
“Api marak dengan cepat disebabkan struktur bangunan itu adalah simen di bahagian bawah dan kayu di bahagian atas. Tiada penghuni dilaporkan berada dalam bangunan asrama itu ketika kebakaran,” katanya lagi..
Zulkhairi berkata, kebakaran itu disedari oleh salah seorang pekerja kantin sekolah terbabit dengan api dipercayai bermula dari bahagian bawah sebelum marak ke tingkat atas bangunan berkenaan.
“Bangunan dianggarkan terbakar 90 peratus sebelum api berjaya dikawal daripada merebak ke kantin dan bangunan lain. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |