BERITA SEMASA

Bang Mat imbas kenangan naik van buruk, tidur rumah kawan ketika bertemu teman lama dari PAS

KUALA LUMPUR – Kehadiran Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ke Parit Buntar, Perak bagi menghadiri Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang mengimbau kenangan beliau bersama teman lama yang pernah berjuang bersama dahulu.

Presiden Parti AMANAH itu berkata, ketika turun ke program itu, beliau tidak lupa menjemput Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan sekitar walaupun berbeza wadah politik.

Katanya, antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki selain Datuk Mahfuz Omar serta Datuk Dr. Ismail Salleh.

“Seperti biasa, menjadi kebiasaan Bang Mat, ke mana-mana Bang Mat pergi, kalau ada ruang dan masa, pasti Bang Mat cuba cari kawan-kawan lama.

“Ramai sahabat seperjuangan yang telah pergi dahulu menemui Ilahi. Yang tinggal ini pun, ada yang sebaya dan ramai yang lebih muda tapi ukhuwah itu tetap kekal dalam ingatan.

“Kami berlima ini bukan orang baharu. Ada yang kenal sejak zaman ceramah keliling kampung naik van buruk, tidur rumah kawan, makan apa yang ada. Ustaz Idris dan Mahfuz misalnya, kami pernah bermusafir satu negara menyampaikan ceramah,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Katanya, walaupun hari ini mereka berbeza platform dan pandangan dalam banyak hal, beliau selalu mengingatkan diri, politik dan siasah itu cuma wadah pentadbiran bukan akidah.

“Ukhuwah jangan dilupakan. Kita boleh tak setuju, tapi jangan sampai terputus silaturrahim.

“Banyak yang kami sembangkan, isu petani, kebun, sawah juga cerita-cerita lama yang buat kami ketawa dan sejenak lupa beban tugas. Begitulah indahnya persahabatan yang dibina atas dasar ikhlas dan perjuangan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button