
Bakal bersara wajib esok: Ketua Hakim Negara akhiri khidmat dengan penuh wibawa
PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan dua prosiding terakhir di Mahkamah Persekutuan hari ini dengan tenang dan berwibawa, sehari sebelum beliau menamatkan perkhidmatan secara rasmi esok.
Salah satu prosiding melibatkan rayuan akhir enam tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.
Tengku Maimun, wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Kami boleh katakan kami dipertahankan oleh Badan Peguam serta beberapa pihak dan individu lain. Untuk itu, saya amat bersyukur. Terima kasih atas segala ucapan yang baik,” katanya dalam nada sebak, memetik laporan Metro Online.
Turut bersara wajib minggu ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang akan menamatkan perkhidmatannya pada Khamis (3 Julai).
Sebagai tanda penghargaan, empat peguam tampil secara bergilir menyampaikan ucapan selama hampir 20 minit selepas berakhirnya satu prosiding di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tengku Maimun.
Naib Presiden Badan Peguam Malaysia, Anand Raj memulakan penghargaan kepada kedua-dua tokoh dengan menyifatkan Tengku Maimun sebagai pemimpin berprinsip yang telah membawa perubahan signifikan kepada institusi kehakiman.
“Apabila Yang Amat Arif berundur, anda meninggalkan sebuah institusi kehakiman yang lebih mudah diakses, cekap dan maju dari segi teknologi dan yang lebih penting, anda meninggalkan satu kepimpinan berprinsip yang meningkatkan keyakinan terhadap sistem kehakiman kita,” katanya.
Anand turut menekankan penghargaan diberikan bukan berdasarkan keputusan mana-mana kes, sebaliknya kerana integriti tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua tokoh sepanjang perkhidmatan mereka.
Beliau juga menyatakan penghormatan kepada Abang Iskandar sebagai hakim pertama dari Sabah dan Sarawak yang dilantik ke jawatan kedua tertinggi dalam institusi kehakiman negara.
“Anda berkhidmat dengan penuh kehormatan, memimpin dengan kebijaksanaan dan menginspirasi dengan integriti,” katanya bagi pihak seluruh komuniti guaman.
Peguam kanan, Datuk Gurdial Singh Nijar pula berkata, di bawah pimpinan Tengku Maimun, institusi kehakiman berjaya dipulihkan daripada krisis 1988 dan kini setanding dengan institusi kehakiman terbaik di negara-negara Komanwel.
Peguam Lim Wei Jiet turut menyuarakan rasa hormatnya kepada kedua-dua tokoh, khususnya dalam memelihara keluhuran Perlembagaan dan prinsip pemisahan kuasa.
“Kesetiaan anda terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan pemisahan kuasa sememangnya telah mencetuskan satu kebangkitan semula terhadap kedudukan undang-undang di Malaysia,” ujarnya sambil mendoakan persaraan yang bermakna.
Sesi penghargaan tersebut turut mendapat tepukan dari galeri awam.
Turut bangun memberikan penghormatan ialah peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman yang mengakui berasa bangga terhadap pencapaian yang ditunjukkan Tengku Maimun sepanjang perkhidmatannya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |