
Back to the Beginning: Konsert terakhir Black Sabbath
DUNIA muzik heavy metal bakal menyaksikan detik paling bersejarah apabila Black Sabbath, kumpulan yang dianggap sebagai ‘pencipta’ genre ini, mengumumkan konsert terakhir mereka yang bakal berlangsung di Villa Park, Birmingham, England, 5 Julai ini.
Konsert yang diberi nama ‘Back to the Beginning’ itu bukan sekadar persembahan pentas yang mengumpulkan peminat heavy metal dari seluruh dunia bahkan menjadi perayaan epik bagi legasi muzik yang telah bertahan selama lebih lima dekad.
Lebih istimewa, vokalis legenda, Ozzy Osbourne, akan membuka acara dengan persembahan solonya sebelum bersatu bersama anggota asal Black Sabbath—Tony Iommi, Geezer Butler, dan Bill Ward—untuk kali terakhir.
Ia diramal menjadi penampilan terakhir Ozzy di pentas besar sekaligus menoktahkan karier cemerlangnya yang memberi inspirasi dalam industri muzik rock dan metal.
Isteri dan pengurus Ozzy, Sharon Osbourne berkata, konsert gergasi itu diharap memberi peluang kepada suaminya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya secara rasmi.
“Ozzy tidak pernah mendapat peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan dan peminatnya. Dia rasa seolah-olah tiada noktah penuh. Ini adalah noktahnya,” katanya yang mengakui tahap kesihatan Ozzy yang kini semakin merosot.
Penyanyi berusia 75 tahun itu mengalami pelbagai masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penyakit Parkinson dan komplikasi akibat pembedahan tulang belakang.


Sharon berkata, persembahan penuh Ozzy Osbourne kali terakhir diadakan pada tahun 2018 dan selepas itu beliau hanya muncul melalui persembahan-persembahan singkat.
Sebagai tanda penghormatan kepada warisan Black Sabbath dan Ozzy Osbourne, Back to the Beginning juga bakal menghimpunkan barisan artis rock dan metal yang paling berpengaruh dalam sejarah.
Antaranya yang dijangka membuat persembahan adalah Metallica, Slayer, Pantera, Gojira, Halestorm, Alice In Chains, Lamb of God, Anthrax, Mastodon, Billy Corgan (The Smashing Pumpkins), David Draiman (Disturbed), Duff McKagan (Guns N’ Roses), Fred Durst (Limp Bizkit), Jake E. Lee (ex-Ozzy Osbourne), Jonathan Davis (Korn), KK Downing (ex-Judas Priest), Mike Bordin (Faith No More), Papa V Perpetua (Ghost), Rudy Sarzo, Sammy Hagar, Slash (Guns N’ Roses), Sleep Token’s II (Sleep Token), Tom Morello, Wolfgang Van Halen.
Bagi peminat heavy metal, ini pastinya bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu peristiwa bersejarah yang akan dikenang sepanjang zaman. Satu sambutan warisan sebuah kumpulan yang mencipta revolusi dalam dunia muzik.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |