
Azizulhasni terima geran individu RM200,000
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan geran individu sebanyak RM200,000 kepada bekas juara dunia keirin, Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk bergerak secara profesional bagi tahun 2025 hingga 2026.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pemberian geran tersebut adalah bagi bagi menyokong pelumba berpengalaman itu selepas beliau memutuskan untuk meninggalkan skuad kebangsaan.
Hannah berkata, geran individu itu merangkumi sokongan dalam bentuk pengurusan jurulatih, latihan dan kejohanan serta peralatan pertandingan serta perubatan dan sains sukan.
“KBS menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pelumba berusia 37 tahun itu layak ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada tahun depan,” kata Hannah dalam satu sidang media di ibu negara semalam.
Semalam, Azizulhasni, 37, mengumumkam untuk meneruskan kariernya sebagai pelumba berbasikal trek profesional selepas kegagalan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016, berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Hannah.
Terdahulu, Azizulhasni pernah memberi bayangan untuk bersara selepas 21 tahun bergelar pelumba skuad kebangsaan susulan penyertaannya dalam acara keirin Olimpik Paris tahun lalu dibatalkan kerana kesalahan teknikal.
Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, Hannah mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni, atas keputusan beliau untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai atlet profesional.
“Apa yang pasti, keyakinan kami tidak berbelah bahagi dengan pengalaman dan disiplin beliau bukan sekadar aset sukan tetapi pemangkin untuk menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |