Pengoperasian menara ICQS Lubok Antu mudahkan urusan pelancongan, perkukuh kecekapan operasi pentadbiran
CYBERJAYA – Menara komunikasi baharu di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu, Sarawak beroperasi sepenuhnya selepas dibangunkan dalam tempoh tiga bulan.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan, menara itu yang menggunakan konsep perkongsian infrastruktur rangkaian (MultiOperator Core Network, MOCN) direalisasikan melalui kerjasama strategik antara pihaknya, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan penyedia rangkaian mudah alih utama negara iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile dan YES.
“Dibangunkan dalam tempoh kurang tiga bulan bermula Ogos lalu dan siap sepenuhnya pada 5 November lalu, projek itu mencerminkan komitmen tinggi serta penyelarasan berkesan antara agensi Kerajaan Negeri Sarawak dan agensi Kerajaan Persekutuan bersama pemain industri komunikasi.
“Ia sekali gus menyediakan liputan 4G yang lebih meluas dan stabil di kawasan sekitar ICQS Lubok Antu,” katanya.
Dalam pada itu katanya, peningkatan liputan itu juga akan memudahkan urusan pelancongan dan memperkukuh kecekapan operasi pentadbiran di ICQS.
Pada masa sama katanya, ia juga dapat mengkoordinasi rentas sempadan dengan pihak berkuasa Indonesia dalam mengurus sebarang situasi kecemasan yang melibatkan rakyat kedua-dua negara.
“Kejayaan inisiatif itu mencerminkan komitmen MCMC bersama kerajaan Sarawak dan pemain industri dalam memperluas akses komunikasi mudah alih berkualiti serta memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan sempadan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








