AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Op NAGA perhebat perang terhadap penceroboh laut asing

MELAKA – Kedaulatan perairan negara terus menjadi keutamaan apabila Op NAGA memasuki fasa baharu dengan strategi lebih agresif dan bersepadu bagi membendung pencerobohan vesel nelayan asing (VNA) ke dalam Zon Maritim Malaysia.

Mesyuarat Op NAGA Bil. 1/2025
Sekitar mesyuarat Op NAGA Bil. 1/2025. yang berlangsung semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Op NAGA bukan sekadar operasi biasa, tetapi merupakan gabungan mantap antara pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa.

“Tujuannya jelas, iaitu menangkis pencerobohan di laut, terutama di Laut China Selatan, oleh bot-bot nelayan asing yang mengancam kedaulatan, keselamatan dan sumber ekonomi negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Op NAGA Bil. 1/2025 di sini, semalam.

Menurut beliau, Op NAGA juga menyasarkan aktiviti penangkapan ikan haram yang tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU Fishing).

Kegiatan itu bukan sahaja merugikan industri perikanan tempatan, malah memusnahkan ekosistem maritim dan mencabuli sempadan negara.

“Kerjasama erat semua pihak, baik pasukan keselamatan mahupun agensi sokongan, amat diperlukan.

“Kita perlu tingkatkan pengawasan dan tindakan proaktif untuk banteras jenayah ini di perairan kita,”

“Bukan setakat tangkap penceroboh. Kita mahu hantar mesej tegas, perairan Malaysia bukan tempat untuk mereka menceroboh sesuka hati,” katanya lagi.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Asisten Ketua Staf, Operasi dan Latihan, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef), Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin, Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, Timbalan Pengarah Kastam, Mohd Nasir Mustapha dan Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis Noor Azman Jamal.

Mohd Zawawi turut berkata, kerjasama strategik antara pasukan keselamatan dan agensi sokongan sebagai kunci kejayaan Op NAGA yang memasuki tahun keenam sejak dilancarkan pada April 2019.

“Sehingga Disember 2024, Op NAGA telah merekodkan 619 tangkapan dengan nilai rampasan, denda, dan lelong keseluruhan berjumlah RM141,789,783.36 juta ringgit.

“Nilai tangkapan ini diharapkan dapat memberikan pulangan pelaburan (ROI) yang bermanfaat kepada Kerajaan Malaysia.

“Jumlah ini bukan sekadar angka. Ia adalah pulangan besar kepada pelaburan kerajaan dalam menjaga keselamatan maritim, melibatkan sumber negara, rezeki nelayan tempatan, dan maruah perairan kita,” jelas beliau.

Op NAGA melibatkan 14 pasukan operasi dan agensi sokongan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara dari PDRM, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pelabuhan & Dermaga Sabah (JPDS), Taman-taman Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mesyuarat kali ini turut membincangkan pengukuhan aset strategik, pelaksanaan operasi bersepadu yang lebih cekap, pengukuhan risikan, dan pendekatan jangka panjang untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan maritim negara.

Maritim Malaysia memberi jaminan akan terus memperkasakan rondaan di perairan negara bagi menghalang sebarang ancaman dari luar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button