AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Malaysia kukuhkan hab mobiliti serantau melalui TXA 2025

SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama rakan industri akan menganjurkan Transport Expo Asia (TXA) 2025 dan Road Safety Congress (RSC) 2025 bermula 11 hingga 13 November ini di Sama-Sama Hotel, KLIA.

TXA 2025 bakal menjadi platform mobiliti masa depan serantau yang menghimpunkan lebih 100 syarikat dari lapan negara termasuk Malaysia, Indonesia, China, Hong Kong, Jerman, Poland, Amerika Syarikat dan Singapura.

MOT berkata, penganjuran itu dijangka menarik kehadiran 3,000 pelawat perdagangan, 1,000 delegasi persidangan serta 230 tetamu kehormat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab mobiliti serantau.

Malaysia kukuhkan hab mobiliti serantau melalui TXA 2025
Sesi walkabout bersama KSU MOT hari ini

“Bertemakan “Future On The Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics & ESG-Driven Supply Chains”, TXA 2025 memberi tumpuan kepada pendigitalan sistem pengangkutan, kelestarian alam sekitar serta pembangunan rantaian bekalan berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara penyertaan utama termasuk ANSA Digital, Batik Air Malaysia, CRRC Corporation, ECRL, Gamuda, Grab, MRT, MRCB, MMC Ports, RAC, Sunway Group, TDA dan YTL Corporation yang akan menampilkan pelbagai teknologi terkini daripada infrastruktur rel hingga automasi bandar.

MOT berkata, TXA mempersembahkan pelbagai inovasi mobiliti hijau seperti elektrifikasi, automasi pintar dan teknologi rendah karbon, seiring dengan usaha Malaysia memperkukuh agenda pengangkutan hijau serta rendah karbon di peringkat nasional.

“Antara tarikan utama TXA 2025 ialah Drone Cage oleh Futurise, Bas Elektrik (EV Bus) oleh eMoovit serta Guided Rapid Transit (GRT) oleh SMH Rail, menjadikan acara ini bukan sekadar pameran tetapi juga pengalaman menyeluruh mengenai mobiliti masa depan,” katanya lagi.

Sementara itu, penganjuran Road Safety Congress (RSC) 2025 oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menampilkan sinergi antara inovasi teknologi dan keselamatan jalan raya.

Gabungan TXA dan RSC 2025 dijangka memperkukuh pendekatan menyeluruh ke arah membina sistem pengangkutan yang selamat, mampan dan berdaya saing.

Kemasukan ke TXA 2025 adalah percuma dan orang ramai boleh mendaftar melalui laman sesawang rasmi www.txa.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button