LLM lancar aplikasi navigasi ‘TuJu’, lebih mesra pengguna Malaysia
KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memperkenalkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan bersama Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB) menawarkan pilihan baharu kepada pengguna sebagai alternatif lebih “mesra Malaysia” berbanding aplikasi navigasi sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, TuJu merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh transformasi digital lebuh raya negara serta memastikan pengguna mendapat maklumat perjalanan yang lebih tepat dan menyeluruh.
“Kerjasama ini membangunkan sistem navigasi lebuh raya yang komprehensif dan pintar, menggabungkan kepakaran teknikal PCSB dan pengalaman LLM untuk menyediakan maklumat berkesan sebagai teman perjalanan pengguna di lebuh raya Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aplikasi berkenaan hadir dengan ciri navigasi pintar, maklumat trafik dan tol masa nyata, akses kamera CCTV serta bantuan kecemasan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
TuJu turut diintegrasikan dengan aplikasi MYJalan, membolehkan pengguna menyalurkan aduan, memberi maklumat kerosakan jalan serta berinteraksi secara langsung dengan sistem pengurusan jalan raya kerajaan.
Aplikasi itu kini boleh dimuat turun melalui Apple Store bagi pengguna iOS dan Google Play Store untuk peranti Android.
Pelancaran TuJu dijangka memperluaskan pilihan navigasi kepada pengguna tempatan, terutama selepas pelbagai isu tular membabitkan aplikasi luar negara seperti gangguan bahasa, arahan tidak tepat dan laluan berisiko yang pernah dikongsikan pengguna sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








