
Jualan langsung Malaysia cecah RM34.4 bilion, kedudukan ke enam dunia
PUTRAJAYA – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan dalam industri jualan langsung apabila sumbangan sektor itu kepada ekonomi negara mencecah RM34.4 bilion pada penghujung tahun 2024, meningkat 7.4 peratus berbanding RM32.04 bilion pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Dr. Fuziah Salleh berkata, kejayaan itu membolehkan Malaysia mengekalkan kedudukan ke enam dunia dan ke empat di Asia Pasifik dalam industri jualan langsung bagi tempoh 2020 hingga 2024, berdasarkan laporan World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA).
“Malaysia turut diiktiraf sebagai negara dengan kadar penembusan pasaran tertinggi di peringkat global, mencatatkan 2.28 peratus, setanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China dan Jepun,” katanya di sini hari ini.
Fuziah turut memaklumkan bahawa Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500) sedang dipinda secara menyeluruh bagi memastikan peraturan yang lebih mampan dan relevan dengan perkembangan semasa.
“Penambahbaikan ini penting untuk memastikan industri jualan langsung terus berkembang dalam ekosistem yang lebih menyeluruh, beretika dan berdaya saing,” ujarnya.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Sara Hidup (KPDN) sentiasa komited memastikan semua syarikat jualan langsung mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan demi melindungi hak pengguna.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus merancakkan pembangunan industri ini melalui pelbagai inisiatif yang dapat mewujudkan peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat, serta memberi impak positif kepada pertumbuhan sosioekonomi negara.
KPDN optimis industri jualan langsung di Malaysia akan terus berkembang secara holistik dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |