BERITA SEMASA

Audit keselamatan sekolah dilaksana menyeluruh, KPM tubuh jawatankuasa khas

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan audit keselamatan sekolah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memperkukuh aspek kawalan keselamatan di kawasan sekolah dan asrama seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, Ketua Jemaah Nazir telah digerakkan bagi melaksanakan audit tersebut, dengan laporan keselamatan perlu dikemukakan kepadanya setiap minggu sebelum dibawa kepada Menteri Pendidikan untuk tindakan lanjut.

“Daripada dapatan audit itu, laporan hendaklah dikemukakan kepada saya setiap minggu untuk dibawa kepada menteri dan diperincikan tindakan yang perlu diambil,” katanya pada sidang akhbar di KPM di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif segera susulan insiden seorang murid dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Menurut Dr Mohd Azam, audit keselamatan tersebut akan menilai keadaan sekolah secara menyeluruh termasuk bangunan asrama dan kawasan persekitaran, bukan hanya tertumpu pada satu aspek tertentu.

“Dengan usaha ini, insya-Allah kita dapat memperkukuhkan aspek keselamatan sekolah dan asrama demi keselamatan anak-anak kita serta seluruh warga sekolah,” ujarnya lagi.

Beliau turut menjelaskan audit itu melibatkan lawatan mengejut ke sekolah dan asrama bagi memastikan pihak pengurusan sentiasa peka serta tidak mengambil mudah soal keselamatan.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Azam memaklumkan KPM menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah sebagai langkah segera memperkukuhkan kawalan keselamatan di semua institusi pendidikan.

Jawatankuasa itu akan dianggotai pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Dengan adanya jawatankuasa ini, kita akan lihat sudut pandangan berbeza untuk memperkukuhkan garis panduan keselamatan sekolah.

“Saya telah mengarahkan jawatankuasa ini membuat semakan terhadap semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk ditambah baik atau diganti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button