
Attana laksana CSR bantu agih makanan kepada 250 gelandangan di Chow Kit
KUALA LUMPUR – Sempena Ramadan tahun ini, Attana Hotels & Resorts (Attana) menyantuni kira-kira 250 golongan gelandangan di Chow Kit menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk bantuan pemberian makanan.
Menurut Pengurus Besar Attana Hotel dan Resort Sdn. Bhd., Mohd. Iqmal Muslim, inisiatif tersebut merangkumi program agihan makanan dan kit barangan kering untuk golongan gelandangan yang diadakan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit baru-baru ini.
Beliau berkata, usaha murni itu turut disokong oleh Keluarga Nilam melalui sumbangan kewangan, manakala PERTIWI dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan bantuan serta panduan logistik bagi memastikan kelancaran kedua-dua acara tersebut.

“Ini merupakan tahun kedua program CSR ini dilakukan oleh syarikat kami dan Alhamdulillah sambutan yang begitu baik dan diharapkan program-program ini dapat kami jalankan lagi pada masa-masa yang akan datang.
“Bila tiba bulan Ramadan saya rasa keunikannya adalah untuk berkongsi rezeki dan mendapat keberkatan. Jadi jika bukan pada bulan Ramadan pun, program sbegini boleh diteruskan,” katanya.
Pada hari yang sama, Attana dan Nilam turut menganjurkan majlis berbuka puasa khas di Perdana KLCC, menyambut kedatangan anak-anak dari
Rumah Perlindungan Qaseh, Taman Melawati dan Akademi Sains dan Tahfiz Al-Quran Sains Wangsa Melawati.
Ketua Pegawai Operasi Attana, Ron Hasni Yusoff berkata, selain juadah berbuka, Attana dan Nilam turut menyampaikan duit raya sebagai tanda penghargaan.

Ron Hasni berkata, Attana terus teguh dalam misinya untuk menyokong dan memperkasakan masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan.
“Melalui usaha CSR yang berterusan serta kerjasama yang bermakna, syarikat ini berhasrat untuk memberikan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat.
“Di Attana, kami percaya pada kekuatan memberi kembali kepada masyarakat. Komitmen kami terhadap inisiatif berteraskan komuniti mencerminkan dedikasi kami untuk membawa perubahan bermakna.
“Kami berharap inisiatif hari ini dapat menggalakkan tindakan kolektif dan menginspirasi lebih banyak organisasi untuk membantu mereka yang
memerlukan,” katanya.
Tambah Ron Hasni, melalui inisiatif itu, Attana terus memainkan peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, memupuk nilai kasih sayang, perpadua dan semangat sebenar Ramadan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |