
ATM tak terlibat dalam operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub
KUANTAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terlibat dalam operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sehingga kini tiada sebarang pergerakan atau arahan daripada kerajaan negeri yang membabitkan penglibatan ATM dalam operasi berkenaan.
Menurut beliau, pihak polis telah menerima tiga laporan berhubung insiden tersebut, daripada pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), pihak polis dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
“Kita telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas,” katanya menurut laporan Bernama hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi lebih 25 saat, memaparkan pergerakan beberapa kenderaan dipercayai milik tentera di kawasan tertentu, kononnya bagi membantu operasi penguatkuasaan tersebut.

Dalam kejadian itu, pekebun dilaporkan bertindak menghalang laluan pasukan penguat kuasa sambil membawa kain rentang sebagai simbol bantahan terhadap tindakan memusnahkan tanaman durian yang didakwa berusia puluhan tahun.
Bagaimanapun, situasi berjaya dikawal dan tiada insiden tidak diingini dilaporkan berlaku.
Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini turut menafikan dakwaan bahawa mereka telah melanggar perintah mahkamah berhubung tindakan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |