BERITA SEMASA

ATM sertai lawatan diplomatik tinjau kawasan ‘panas’ sempadan Kemboja-Thailand

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai delegasi ketenteraan serantau dalam satu lawatan diplomatik ke kawasan panas sempadan Kemboja-Thailand, susulan ketegangan rentas sempadan, semalam.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, ATM memaklumkan lawatan berkenaan yang berlangsung di zon Anlong Veng–Phnom An Ma (Chong An Ma) mencerminkan komitmen Malaysia terhadap diplomasi pertahanan ASEAN di samping memainkan peranan aktif dalam membina keyakinan dan ketelusan antara negara anggota.

“Lawatan itu turut disertai wakil ketenteraan dari beberapa kuasa besar dan negara jiran termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Rusia, Korea Selatan, Australia, Indonesia, Filipina, Singapura, Laos, Vietnam dan Myanmar,” menurut kenyataan itu.

Media tempatan di Kemboja melaporkan kerajaan negara itu mengambil inisiatif menjemput delegasi ketenteraan asing sebagai langkah menunjukkan keterbukaan dan keyakinan terhadap pendirian mereka bahawa tiada pelanggaran sempadan berlaku.

Menurut ATM, kerajaan Kemboja menegaskan segala tindakan yang diambil adalah demi menjamin keselamatan wilayahnya khususnya di kawasan yang pernah menjadi titik pertikaian seperti Zon Chong An Ma, yang turut dikaitkan dengan insiden membabitkan Kuil Preah Vihear.

“Dalam konteks ini, penganjuran lawatan pemerhati oleh pihak Kemboja dilihat sebagai sebahagian strategi perang maklumat dan diplomasi ketenteraan bagi membina naratif yang memihak kepada mereka di peringkat antarabangsa,” kata ATM.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Thailand manakala Malaysia dan negara lain yang dijemput juga masih belum mengumumkan sebarang dapatan rasmi daripada lawatan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Thailand dan Kemboja sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik pertahanan serantau.

“Lawatan itu susulan pengumuman gencatan senjata serta-merta antara Thailand dan Kemboja yang dicapai melalui Mesyuarat Khas anjuran Malaysia bersama kedua-dua negara,” jelas kenyataan itu.

Langkah diplomatik tersebut dilihat sebagai lanjutan kepada peranan Malaysia dalam memediasi ketegangan serantau dan memperkukuh hubungan pertahanan bersama negara-negara ASEAN serta kuasa besar dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button