BERITA SEMASA

ATM ambil masa 72 jam laksana misi bantuan ke Myanmar

KUALA LUMPUR – Pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya mengambil masa 72 jam bagi melengkapkan persediaan logistik dan teknikal sebelum berlepas ke Myanmar dalam misi bantuan kemanusiaan, pagi ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, jangka masa tiga hari itu digunakan bagi memastikan aspek keselamatan, keperluan asas seperti air dan elektrik, serta peralatan kritikal Hospital Medan Malaysia berada dalam keadaan optimum.

Sebahagian 69 anggota pasukan perubatan ATM bersalaman sebelum menaiki pesawat untuk misi kemanusiaan tersebut.

“Pasukan perubatan ATM mengambil masa tiga hari untuk melakukan persediaan bagi mengaktifkan misi ini sebelum berlepas kerana mengambil kira pelbagai faktor di lapangan,” katanya selepas upacara aturgerak Hospital Medan Malaysia ke Operasi Bantuan Kemanusiaan Myanmar di Pangkalan Udara Subang di sini awal pagi ini.

Misi kemanusiaan itu digerakkan kerajaan bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.7 Skala Richter yang melanda kawasan sekitar Mandalay pada 28 Mac lalu.

Operasi Bantuan Kemanusiaan Starlight III yang diketuai oleh Kolonel Dr. Ahmad Farhan Ahmad Fuad selaku pemerintah operasi itu melibatkan seramai 69 anggota terdiri daripada 16 pegawai dan 53 anggota pelbagai kepakaran.

Antara yang terlibat termasuk Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) Hospital Medan Malaysia, elemen daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta pasukan keselamatan lain.

Pasukan ini membawa bersama Hospital Medan Tahap Dua lengkap dengan kit perubatan, peralatan komunikasi dan teknikal serta logistik seperti kenderaan pacuan empat roda dan dua buah trak yang membawa muatan keseluruhan seberat 18 tan.

“Perancangan pelaksanaan Hospital Medan ini adalah untuk tempoh awal 30 hari dan penilaian lanjut akan dibuat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan,” tambah beliau.

Katanya, operasi dijadualkan berlangsung di kawasan Sagaing, Myanmar namun lokasi itu boleh berubah mengikut keperluan dan situasi semasa.

Operasi Starlight III berlepas dari Pangkalan Udara Subang menggunakan dua pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang masing-masing berlepas pada jam 4.45 pagi dan 5.15 pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button