BERITA SEMASA

Atas nama ukhwah Islam dan Melayu, Sultan Selangor ampunkan Sanusi

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.

“Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan.

“Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu. Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu baginda juga menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di Selangor.

“Beta tidak mahu rakyat khususnya di negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.

“Kelakuan dan tuturkata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri. Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

“Akhir sekali beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab,” titah baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button