Asyraf Wajdi saman Papagomo RM1 juta, nafi salah guna dana MARA
KUALA LUMPUR – “Papagomo, jumpa di mahkamah!” Demikian tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang membidas dakwaan dilemparkan terhadapnya oleh blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan hari ini, beliau menafikan dakwaan kononnya beliau mengagihkan tender makanan dan projek-projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian serta menggunakan wang agensi itu untuk membeli dan mengagihkan lembu di Gerik pada sambutan Aidiladha lalu.
“Fitnah ini bukan sahaja melampau, malah jijik dan tidak berasas. Tuduhan ini bukan sekadar menyerang integriti saya, tetapi mencemar institusi yang saya pimpin,” tegasnya dalam kenyataan bervideo di Facebooknya hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai Pengerusi MARA, beliau langsung tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk meluluskan sebarang tender atau projek dan tidak pernah terlibat dalam mana-mana mesyuarat perolehan MARA.
“Sejak bila saya terlibat dengan tender makanan MRSM? Satu negara tahu saya sendiri turun padang, terjah ke MRSM dan dewan makan untuk pecahkan kartel yang selama ini menjejaskan kualiti makanan demi menjaga kebajikan pelajar,” katanya lantang.
“Saya nyatakan dengan jelas tidak ada satu sen pun wang MARA digunakan.
“Untuk pengetahuan semua, lembu-lembu itu semua adalah hasil sumbangan individu-individu dan sahabat-sahabat saya yang berniat korban untuk disumbangkan di Gerik dan Pasir Puteh Kelantan,” katanya.
Asyraf menyifatkan dakwaan fitnah itu sebagai serangan peribadi yang hina dan akan mengambil tindakan undang-undang segera terhadap Papagomo.
“Saya akan saman RM1 juta. Ini bukan soal nama saya sahaja, ini soal maruah institusi dan prinsip kebenaran. Budaya fitnah mesti diperangi habis-habisan. Jangan ingat boleh lempar tuduhan dan lepas tangan,” katanya penuh ketegasan.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memporak-perandakan parti dan mencetuskan persepsi negatif menerusi pembohongan tanpa asas.
“Tuduhan ini amatlah melampau, mengaibkan dan menjejaskan reputasi saya. Kita jumpa di mahkamah. Budaya fitnah seperti ini tidak boleh dibiarkan,” tegasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








