Berita Semasa

Aspek ekonomi jadi fokus Kerajaan Madani tahun ini

PUTRAJAYA – Bagi meningkatkan pertumbuhan negara, Kerajaan Madani akan memberi tumpuan terhadap aspek ekonomi sepanjang tahun ini, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut dimaklumkan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selepas Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama bagi tahun in, di sini, hari ini.

Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, fokus kerajaan adalah untuk mendorong pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Malaysia, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negara ini.

“Fokus utama kerajaan pada tahun ini adalah adalah aspek ekonomi iaitu dengan mendorong para pelabur dari dalam dan luar negara untuk membuat pelaburan di dalam Malaysia dengan tujuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambah Fahmi, Perdana Menteri juga telah memberi beberapa pandangan mengenai penyelarasan fungsi yang akan dimainkan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Jelas beliau, penyelarasan tersebut penting bagi memastikan ekonomi negara terus rancak kerana banyak syarikat GLIC menjalankan pelaburan di luar negara.

Tambah Fahmi, susulan keadaan politik yang stabil pada tahun lalu, banyak kejayaan yang diperoleh negara sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

“Kerajaan merangka Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan pengumuman lain termasuk inisatif digitalisasi kerajaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan kerajaan bersetuju untuk mengadakan program jelajah Madani di peringkat negeri yang akan dimulakan di negeri Selangor dan ikuti Negeri Sembilan.

“Kita akan umumkan mungkin minggu depan mengenai tarikh dan lokasi bagi program terbabit, ini diikuti dengan Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button