Berita SemasaDalam Negeri

Asma’ Harun nafi promosi McDonald’s

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan daripadanya.

Dalam satu kenyataan rasmi awal pagi ini, beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu ‘fitnah yang nyata’ dan dibuat dengan niat tidak baik, selain menjelaskan bahawa gambar yang tersebar telah diedit.

“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan, sama ada secara lisan atau bertulis, seperti yang didakwa.

“Semua tulisan dalam hantaran tersebut adalah rekaan dan satu penipuan,” katanya.

Gambar yang disunting menunjukkan Ustazah Asma’ didakwa mempromosikan jenama McDonald’s adalah fitnah.

Beliau turut meminta agar hantaran tersebut serta mana-mana kandungan seumpamanya segera diturunkan.

Menjelaskan kehadirannya dalam satu program di Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam, Ustazah Asma’ berkata bahawa beliau menerima jemputan daripada pihak Markaz Al Qarahdaghi bagi menyampaikan kuliah, sebagaimana undangan yang sering diterima daripada pelbagai masjid lain.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa pihak McDonald’s telah menyampaikan bantuan kepada para asnaf sebelum sesi ceramahnya dan kemudiannya memuat naik perkara tersebut di laman rasmi mereka.

Justeru, Ustazah Asma’ menzahirkan rasa kesal beliau kerana isu itu kembali diperdebatkan dalam fasa 10 hari terakhir Ramadan, ketika umat Islam sepatutnya lebih menumpukan kepada amal ibadah.

“Saya boleh terima apabila diri saya dikutuk, diejek, dihina, diperlekeh dan ditertawakan.

Gambar pendakwah itu turut disunting bersama maskot jenama tersebut.

“Namun, apa yang saya lebih kasihan adalah mereka yang juga Muslim tetapi terjebak dengan mengeluarkan perkataan keji,” luahnya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta melakukannya, maka Allah thlah tidak berhajat (menerima) orang itu meninggalkan makan dan minumnya (puasa).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ turut melahirkan harapan agar segala amal ibadah dan amalan soleh sepanjang Ramadan diterima oleh SWT.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan pendakwah itu menyokong dan mempromosikan McDonald’s melalui gambar beliau memegang anak patung jenama tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button