BERITA SEMASA

AS umum kejayaan di Fordow, pakar lihat sebaliknya

WASHINGTON – Beberapa imej satelit komersial yang menunjukkan kesan serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Fordow di Iran menimbulkan persoalan dalam kalangan pakar keselamatan antarabangsa.

Menurut bekas pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Presiden Institut Keselamatan Sains dan Antarabangsa, David Albright, kesan kerosakan yang dipaparkan tidak selari dengan dakwaan penggunaan bom penembus kubu GBU-57/B.

“AS mendakwa mereka menggunakan bom ‘bunker buster’, tetapi imej hanya menunjukkan beberapa lubang mencurigakan dan bukan kemusnahan besar seperti dijangka,” katanya.

Penyelidik bersekutu CNA Corporation, Decker Eveleth turut meragui tahap kerosakan yang berlaku, khususnya di kawasan bawah tanah Fordow yang menempatkan simpanan uranium.

Beberapa pakar menyatakan Iran dipercayai telah memindahkan sebahagian besar bahan dan peralatan nuklear sebelum serangan dilancarkan pada awal pagi Ahad lalu.

Sumber di Tehran memaklumkan, uranium diperkaya sehingga 60 peratus hampir kepada tahap gred senjata dialihkan ke lokasi yang tidak didedahkan lebih awal.

“Imej satelit Maxar Technologies menunjukkan aktiviti luar biasa di Fordow pada 19 dan 20 Jun, termasuk barisan kenderaan di luar kompleks tersebut.

“Kegagalan melumpuhkan Fordow memberi ruang kepada Tehran untuk mengaktifkan semula program senjata nuklear mereka, seperti yang dibimbangi Washington.

“Kemungkinan besar, bahan sensitif itu telah dipindahkan ke lokasi rahsia yang gagal dikesan AS, Israel dan IAEA,” katanya.

Operasi ketenteraan yang digelar ‘Midnight Hammer’ menyasarkan dua lagi lokasi penting Natanz dan Isfahan.

Namun begitu, beberapa penilaian bebas mendapati impak serangan di kedua-dua lokasi juga tidak mencapai sasaran yang dicanang Washington.

Pengarah Middlebury Institute of International Studies, Jeffrey Lewis berkata, cita-cita AS dan Israel untuk menghentikan program nuklear Iran sukar direalisasikan.

Kompleks nuklear Fordow yang terletak di Iran menjadi tumpuan serangan udara sejak kempen pengeboman dilancarkan pada 13 Jun. – Foto Agensi

“Sudah tentu wujud fasiliti rahsia yang tidak diketahui umum,” ujarnya.

Sementara itu Senator AS, Mark Kelly turut percaya program itu mungkin sedang dijalankan secara tersembunyi dan tidak semestinya tertumpu kepada kemudahan bawah tanah sedia ada.

Albright mempersoalkan keberkesanan peluru berpandu Tomahawk dalam menghentam kemudahan bawah tanah di Isfahan dan Natanz.

“Cruise missile seperti Tomahawk tidak mampu menembusi kompleks konkrit jauh di bawah tanah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Walaupun IAEA mendakwa laluan masuk ke salah satu terowong utama di Isfahan mengalami kerosakan teruk, agensi itu belum mengesahkan tahap kemusnahan secara keseluruhan.

Tehran baru-baru ini memaklumkan kepada IAEA tentang rancangan membina fasiliti pengayaan uranium baharu di Isfahan.

Albright mendakwa kemungkinan sebanyak 2,000 hingga 3,000 hasil uranium telah dipindahkan ke lokasi yang belum diketahui.

“Soalnya kini, di mana ia disembunyikan?” katanya.

Dalam masa sama, Majlis Syura Iran dilapor mempertimbangkan menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), sekali gus menamatkan kerjasama dengan IAEA.

Langkah itu dijangka memberi kesan besar terhadap sistem pemantauan nuklear global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button