
AS bakal kenakan sekatan ke atas Malaysia? Ini jawapan PM
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas yang diluluskan Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat (AS) pada 1 November lalu akan hanya memberi kesan kepada negara sekiranya mereka dapat membuktikan sokongan Malaysia adalah dari segi material.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini Kerajaan sedang meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan RUU itu sekiranya diluluskan.
“Keputusan Kongres AS untuk meluluskan RUU ini adalah untuk memperlihatkan usaha berterusan mereka supaya Kerajaan AS menekan mana-mana Kerajaan asing atau pihak yang menyalurkan bantuan kepada Hamas.
“RUU ini juga dilihat sebagai salah satu unsur ugutan kepada pihak yang ingin membantu rakyat Palestin yang telah lama ditindas oleh rejim Israel,” kata Anwar di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN – Machang) mengenai pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan RUU tersebut.
Jelas Perdana Menteri, Kerajaan tetap berpendirian teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin atas dasar dan prinsip kemanusiaan.
“Hamas tidak pernah diklasifikasi sebagai entiti atau organisasi penganas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) walaupun terdapat cadangan daripada negara-negara Barat untuk berbuat demikian.
“Untuk makluman Dewan, sekiranya UNSC mengklasifikasikan sesebuah entiti sebagai satu organisasi penganas, Malaysia (masih) perlu meratifikasi pelaksanaan senarai sekatan (sanctions list) dalam penguatkuasaan undang-undang anti-keganasan,” kata Anwar lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |