BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

ART lindungi pekerjaan, pelaburan negara – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, penting bagi melindungi peluang pekerjaan, perniagaan serta pelaburan dalam negara, kata Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam satu video yang dimuat naik semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menjelaskan, perjanjian tersebut perlu bagi memastikan kadar tarif semasa sebanyak 19 peratus, antara yang terendah di rantau ini.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa ART, tarif Amerika Syarikat terhadap barangan Malaysia boleh meningkat semula kepada 25 peratus, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi dan peluang pekerjaan tempatan.

Mengulas kritikan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyifatkan perjanjian itu sebagai bersifat paksaan dan tidak seimbang, Tengku Zafrul berkata, Rafizi sebenarnya berkongsi matlamat sama iaitu mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia, namun berbeza dari segi tafsiran terhadap perjanjian tersebut.

“Saya bersetuju terdapat perbezaan, di mana Kemboja menerima layanan istimewa kerana statusnya sebagai negara kurang maju,” katanya.

Beliau menyamakan kelebihan yang diterima Kemboja itu seperti dasar tindakan afirmatif dalam pemberian biasiswa, di mana pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah diberikan keutamaan berbanding yang lebih berkemampuan.

Selain itu, Tengku Zafrul turut menepis kebimbangan mengenai ketiadaan perkataan “kedaulatan” dalam perjanjian berkenaan, sambil menegaskan bahawa aspek kedaulatan negara tetap dilindungi.

“Walaupun Artikel 5.1 tidak menyebut secara jelas perkataan ‘kedaulatan’, namun kandungan fasal itu membuktikan bahawa kedaulatan Malaysia kekal terpelihara,” katanya sambil menegaskan bahawa perjanjian tersebut tidak memaksa Malaysia bertindak semata-mata mengikut kepentingan Amerika Syarikat.

Jelasnya lagi, klausa berkenaan hanya terpakai bagi isu yang melibatkan kepentingan bersama dalam bidang keselamatan dan nasional antara kedua-dua negara.

ART ditandatangani pada 26 Oktober lalu sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Perjanjian itu bertujuan menstabilkan hubungan perdagangan, melindungi eksport serta peluang pekerjaan rakyat Malaysia selain memastikan layanan adil melalui pelaksanaan tarif timbal balik, akses pasaran dan pematuhan terhadap peraturan perdagangan antara kedua-dua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button