BERITA SEMASA

ART Johor dimuktamadkan dalam masa terdekat – Loke

JOHOR BAHRU – Permohonan kerajaan Johor mengenai kelulusan projek pengangkutan rel Sistem Aliran Transit Automasi (ART) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perbincangan berhubung projek ART berkenaan sedang berjalan, namun terdapat beberapa perincian yang belum dimuktamadkan.

“Kelulusan ART sedang bincangkan, tetapi masih ada perincian yang belum dimuktamadkan, kita akan muktamadkan dalam masa terdekat.

“Banyak perbincangan sedang berlaku, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Saya yakin akan ada keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Kempas Baru hari ini.

Dalam perkembangan sama, Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh menegaskan pelaksanaan projek ART memainkan peranan besar bagi melengkapi Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang disasarkan mula beroperasi pada awal 2027.

Beliau berkata, inisiatif ART merangkumi tiga laluan utama iaitu Tebrau, Sekudai dan Iskandar Puteri, dengan laluan Tebrau wajar diberi keutamaan memandangkan kawasan itu mencatat lebih 75 peratus jumlah kenderaan yang keluar masuk ke pusat bandar Johor.

“Tempoh siap satu jajaran bergantung kepada kaedah pelaksanaan, sama ada sekaligus atau secara pakej, namun anggaran masa mungkin antara dua hingga tiga tahun.

“Projek ART ini dijangka melebihi RM10 bilion dan masih di peringkat perancangan awal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button