BERITA SEMASA

APG cerminan visi ASEAN menuju masa depan tenaga mampan – TPM Fadillah

KUCHING – Malaysia mengulangi komitmennya terhadap agenda peralihan tenaga serantau dengan menekankan kepentingan kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan inovasi karbon rendah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) merupakan inisiatif strategik bagi mengukuhkan keselamatan tenaga rantau ini.

“APG bukan hanya infrastruktur fizikal ia melambangkan visi ASEAN yang terhubung, saling melengkapi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya sambil menekankan ia sebagai langkah ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama lebih 250 delegasi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) ke-43 yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic, Kuching Isnin lalu.

Majlis makan malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fadillah
makan malam bersama lebih 250 delegasi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) ke-43 yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic, Kuching. – Foto Facebook Fadillah

Dalam pada itu, Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut memaklumkan pelaksanaan inisiatif APG akan dibentangkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) di Kuala Lumpur Oktober ini.

Acara itu termasuk penandatanganan Memorandum Perjanjian Dipertingkatkan serta pengesahan Rangka Kerja Pembangunan Kabel Kuasa Dasar Laut.

Pemilihan Sarawak sebagai lokasi penganjuran turut dianggap signifikan memandangkan kejayaan negeri itu menjana tenaga hidro boleh diperbaharui secara mampan, sekali gus menjadikannya model pembangunan tenaga hijau di peringkat serantau.

Sementara itu, Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Energy Berhad atas sumbangan mereka menjayakan majlis makan malam ini.

“Mesyuarat ini bukan sekadar medan perbincangan dasar tenaga, tetapi platform pengukuhan hubungan dan semangat kerjasama ASEAN,” ujarnya.

Beliau berkata, sesi dialog bersama rakan dialog dan organisasi antarabangsa yang berlangsung selari dengan mesyuarat itu dijangka menyentuh pelbagai topik utama termasuk penyahkarbonan, infrastruktur tenaga masa depan dan kemajuan teknologi hijau.

“Dengan tekanan perubahan iklim dan peningkatan permintaan tenaga, Malaysia menyeru agar negara anggota ASEAN menggandakan kerjasama serta memperkukuh dasar bersama demi memastikan akses tenaga yang selamat, mampu milik dan mampan.

“Peralihan tenaga bukan pilihan – ia keperluan. Pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan masa depan generasi akan datang,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button