‘Aokmer Usahawan’ lonjak jenama PKS Lepar
KUANTAN – Kira-kira 40 pemilik perniagaan kecil dari kawasan Lepar menghadiri inisiatif latihan keusahawanan intensif dikenali sebagai ‘Aokmer Usahawan’ yang dianjurkan selama tiga hari baru-baru ini.
Bengkel anjuran bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar dan Yayasan Pahang itu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Methods, Zulkifli Ahmad, sebagai jurulatih utama.
Bengkel itu turut disertai penceramah jemputan daripada Tekun Nasional dan pengasas bersama Pasar Sera, Nadia Rustham, yang berkongsi ilmu mengenai konsep pasaran kreatif, jangkaan komersial daripada pasaran kreatif terhadap vendor, serta bagaimana proses tersebut dapat membantu kedudukan jenama dalam pasaran Pahang.

Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria, berkata program itu bertujuan memberi penekanan khusus terhadap penjenamaan, pemasaran digital, dan strategi penembusan pasaran.
Menurutnya, hasil daripada program tersebut menyaksikan seramai 10 vendor terpilih daripada Lepar diberikan peluang untuk mempamerkan jenama dan produk mereka di acara Pasar Sera.
“Kami berharap latihan dan pendedahan yang diberikan ini akan memperkasakan perniagaan mereka untuk menjadi jenama yang kukuh, bertapak di hati dan minda penduduk Pahang,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Nur Fadhlin Jazilah Johan, berkata beliau terharu dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para usahawan kecil dari Lepar.
“Ada peserta yang sanggup menutup perniagaan mereka selama tiga hari semata-mata untuk menghadiri Aokmer Usahawan. Ini demi menimba ilmu dan merebut peluang untuk ditempatkan sebagai vendor Pasar Sera,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








