Anwar–Trump bincang isu perdagangan, keamanan serantau dan krisis Gaza
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi membincangkan isu perdagangan, keamanan serantau dan krisis kemanusiaan di Gaza sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Anwar berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada Malaysia menyuarakan pendirian tegas terhadap beberapa isu global, termasuk usaha melindungi kepentingan negara dalam bidang pelaburan dan perdagangan antarabangsa.
“Sebelum ini, kami sudah mengadakan dua kali perbincangan melalui panggilan telefon. Trump sangat mesra, mendengar dengan baik dan memberikan sokongan.
“Saya akan menggunakan peluang ini untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam pelaburan perdagangan, selain menyatakan pandangan saya tentang perkara yang baik untuk Malaysia, Amerika Syarikat dan dunia.
“Ini termasuk isu Palestin. Kita mesti mengakui Trump telah mengambil langkah besar dalam menghentikan pengeboman haram oleh Israel di Gaza.
“Cabaran kita ialah memastikan keamanan benar-benar berlaku serta keadilan dan hak rakyat Palestin ditegakkan,” katanya ketika menjawab soalan pada Forum Ilmu PNB 2025, di sini, hari ini.
Anwar turut berkata, peranan Malaysia dalam ASEAN akan terus berpaksikan prinsip pemusatan ASEAN (ASEAN Centrality) bagi memastikan rantau ini kekal sebagai platform dialog dan kerjasama yang dipercayai oleh dunia.
“Malaysia juga mengekalkan hubungan rapat dengan kuasa besar seperti China dan AS, selain memperluas kerjasama dengan wilayah baharu termasuk Amerika Latin dan Afrika.
“Dasar utama kita ialah berpegang kepada prinsip berpusat. Sebagai negara perdagangan, kita bukan sahaja mengembangkan hubungan dengan Eropah, Asia dan Amerika, tetapi juga dengan Amerika Latin dan Afrika Selatan.
“Buat pertama kali, dalam rangka kerja rakan dialog ASEAN, kita akan menerima penyertaan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa,” katanya lagi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan di Kuala Lumpur dijangka menjadi perhimpunan terbesar dan paling berprofil tinggi pernah dianjurkan setakat ini, dengan kehadiran beberapa kuasa besar dunia termasuk AS, China dan Rusia.
Penganjuran kali ini turut disifatkan sebagai peluang terbaik untuk Malaysia memperkukuh peranan dalam diplomasi antarabangsa serta menonjolkan kepimpinan negara di peringkat serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






