BERITA SEMASAPMX

Anwar tolak makanan import di majlis rasmi kerajaan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan kepada semua jabatan kerajaan supaya menghentikan serta-merta penggunaan barangan import, terutama makanan dalam setiap acara rasmi kerajaan.

Arahan itu disuarakan beliau ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pagi ini sebagai langkah memperkukuh sokongan terhadap produk tempatan dan mengangkat hasil usahawan serta petani dalam negara.

“Kalau semua jabatan kerajaan ikut arahan ini, kita dapat buka lebih banyak ruang untuk petani tempatan membekalkan bahan makanan kepada kerajaan,” katanya memetik Bernama.

Anwar turut menyelar sikap sesetengah pihak yang masih cenderung memilih makanan import walaupun dasar kerajaan sudah jelas mengutamakan barangan tempatan.

Anwar Ibrahim ketika hadir pada Perhimpunan Kementerian Kewangan di Putrajaya, pagi ini. FOTO: PMO

Beliau menyifatkan amalan itu sebagai bercanggah dengan usaha kerajaan membina ekonomi berteraskan kekuatan domestik.

Beliau turut mengambil contoh negara jiran seperti Laos, Vietnam dan Thailand yang menurutnya tidak pernah menghidangkan makanan import dalam sebarang majlis rasmi.

“Saya sendiri tidak pernah dijamu makanan luar negara ketika menghadiri majlis rasmi kerajaan di negara-negara tersebut. Mereka secara automatik pastikan hanya makanan tempatan dihidangkan,” jelas beliau.

Perdana Menteri menegaskan bahawa semua penjawat awam dan pegawai kerajaan perlu memainkan peranan dalam menyokong ekosistem ekonomi negara dengan memberi keutamaan kepada produk tempatan dalam setiap aspek perbelanjaan kerajaan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button