Anwar setuju cadangan pinda Perlembagaan hadkan tempoh jawatan PM kepada 10 tahun
SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) walau bagaimanapun berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan sesama parti terlebih dahulu bagi membolehkan ia mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.
“Ada cadangan yang saya setuju, mengehadkan tempoh Perdana Menteri (kepada) 10 tahun kerana kita tahu, kalau sampai 22 tahun, boleh rosak negara.
“Saya setuju tetapi kita perlu runding dapatkan dukungan semua parti supaya ada dua pertiga (sokongan Ahli Parlimen).
“Kalau kuasa mutlak pada saya, esok saya luluskan tapi bezanya saya bukan diktator,” katanya berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Terdahulu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan, ketika berucap, berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan akan datang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH.
Menurut Anwar lagi, sepanjang dua tahun mengemudi Kerajaan Perpaduan, beliau menyatakan pelbagai pencapaian dan reformasi pentadbiran dapat dilaksanakan pihak kerajaan.
“Kita pinda Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen walaupun pembangkang menentang dengan cara berkecuali. Pindaan Perlembagaan bagi memartabatkan kuasa wanita kerana tidak munasabah apabila ‘parent’ dalam rujukan Perlembagaan kita adalah bapa.
“Proses pindaan ini tak mudah, perlu dapat kesepakatan semua sekurang-kurangnya ada dua pertiga undi. Kena bawa kepada Majlis Raja-Raja yang mana ada juga pandangan mereka yang harus dibawa kembali ke Parlimen,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








